Tokoh Sekolah 

     Nama Sekolah Tun Tijah diambil dari nama Tun Teja. Berdasarkan "Sejarah Melayu" Tun Teja adalah Puteri Bendahara Pahang pada abad ke 15. Nama sebenarnya ialah Tun Teja Ratna Benggala. Berdasarkan "Sejarah Melayu" bahawa Tun Teja telah direbut dari tunangnya iaitu Yang Dipertua Pahang oleh Hang Nadim untuk menjadi isteri Sultan Melaka pada masa itu iaitu Sultan Mahmud Syah yang memerintah pada tahun 1488 - 1511. Oleh itu, Tun Teja adalah salah seorang isteri Sultan Mahmud yang dikasihi.  

    Tun Teja adalah permaisuri yang dikasihi dan dihormati pada zaman Kesultanan Kerajaan Melayu Melaka. Portugis menyerang Melaka pada tahun 1511 menyebabkan Sultan Mahmud memerintah pembesar Melayu Melaka, beberapa wira Melayu, Pengawal, dayang-dayang dan isteri-isterinya termasuk Tun Teja meninggalkan Melaka dan berlindung di Muar.  

    Tun Teja meninggal dunia dalam perjalanannya ke Muar dan jenazah Tun Teja dikebumikan dalam keadaan yang sederhana. Beliau dikebumikan di Merlimau dan makamnya menjadikan kebanggaan rakyat Melaka.  
 
    Pada awal penubuhan sekolah ini, sekolah ini adalah sekolah perempuan iaitu untuk mengingati pemaisuri Melaka yang dikasihi iaitu Tun Teja. Oleh itu, nama Tun Tijah dipilih sebagai nama rasmi sekolah ini.  

Sejarah Sekolah Tun Tijah Melaka. 

    Sejarah awal Sekolah Tun Tijah bermula pada tahun 1959 iaitu hanya mempunyai sebuah sekolah Menengah Melayu untuk pelajar perempuan di Sekolah Menengah Inggeris Gajah Berang. Kelas ini mempunyai 40 orang pelajar. Pada tahun 1961, terdapat 3 buah kelas dan pelajarnya seramai 120 orang. Pada tahun ini juga, kelas Menengah Melayu yang terdiri daripada 11 buah darjah aliran Inggeris telah dipindahkan ke Durian Daun Melaka. Pentadbiran kelas ini dikelolakan oleh Sekolah Tinggi Perempuan Melaka yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar.  
   
    Pada awal tahun 1964, terdapat 10 buah kelas menengah Melayu dengan bilangan pelajar seramai 330 orang dan guru seramai 16 orang, maka pentadbirannya tidak lagi dikelolakan oleh Sekolah Tinggi Permpuan Melaka. Aliran Inggeris diberi nama Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Bandar Melaka. Ketiadaan bangunan sendiri menyebabkan sekolah ini menggunakan bangunan Sekolah Tinggi Perempuan Melaka dan bangunan asrama Perempuan Melayu yang belum diduduki.  
   
    Pada awal tahun 1965, sekolah ini berpindah ke bangunannya sendiri dan sekolah I ini dirasmikan pada 9hb, Oktober 1965 oleh Y.B Encik Mohd Khir Johari iaitu Menteri Pendidikan Malaysia. Nama sekolah ini ialah Sekolah Tun Tijah iaitu diambil sempena nama serikandi Melaka iaitu Tun Teja.  
   
    Perkembangan sekolah ini amat pesat iaitu 13 buah kelas pada tahun 1965, 24 buah kelas pada tahun 1973 dan bilangan pelajar turut meningkat dari 425 pelajar kepada 973 pelajar. Pada tahun 1969sekolah ini hanya mempunyai sebuah lagi bangunan tambahan untuk 7 buah bilik darjah dan sebuah perpustakaan.  
   
    Pada tahun 1977, bermula aliran sains dan pelajarnya seramai 32 orang dan kemasukan pelajar lelaki bermula pada tahun 1989.  

    Peristiwa penting di Sekolah Tun Tijah ialah penambahan Pusat Sumber yang dirasmikan oleh Y.A.B Datuk Rahim Tamby Chik iaitu Ketua Menter Melaka pada 19hb, Julai 1984.  
 Surau sekolah ini dirasmikan oleh Tn. Hj. Hashim bin Mohammad iaitu pada 21 hb. Oktober 1978.  

Pengasas Sekolah.  
 
    Pengetua pertama di sekolah ini ialah Pn. Norisah bte Abas dari tahun 1965 sehingga 1967. Usaha gigih beliau menyebabkan sekolah Tun Tijah dirasmikan oleh Y.B Encik Mohd Khir Johari iaitu Menteri Pendidikan Malaysia pada 9hb. Oktober 1965.
Beliau mendapat latihan perguruan di Maktab Perguruan Persekutuan, Kirby England dan beliau berasal dari Muar, Johor.